Sunday, September 5, 2010

Jauh Perjalanan Luas Pemandangan

Ana suka. Suka berziarah ke tempat orang. Ya lah, Jauh perjalanan, luas pemandangan. Pemandangan yang diertikan dengan pandangan, pengetahuan, dan keterbukaan fikiran. Dari Selangor ana memandu hingga ke Senawang, kemudian berhenti di Kuala Pilah. Berbual dengan orang negeri. Terasa jakun mendengar dialek mereka. (-.-)
Sekarang ana berada di Pahang, meninjau suasana kehidupan di sini. Banyak juga perbezaan dengan kehidupan di tempat ana, Simpang Renggam.
Sedikit perkongsian. Malam tadi ana berterawih di masjid Triang. Sempat ana memerhati sekeliling, semua jemaah muslimat terdiri daripada warga emas. Tiada seorang pun muslimat muda remaja di dalam saf. Sedangkan, sewaktu memandu ke masjid, ada sahaja kelihatan anak-anak muda berpasangan berjalan-jalan bersama.
Selepas witir 3 rakaat, ana bersalaman dengan warga emas di sini. Ana kucup tangan mereka, diikuti kucupan mesra di kiri kanan pipi mereka. Sudah terbiasa dengan sahabat-sahabat barangkali. Mereka kelihatan tersentuh. Paling terkesan, apabila makcik-makcik yang berdekatan yang melihat perilaku ana, mereka masing-masing berebut menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ana. Mengelilingi ana, menunggu giliran untuk disalami. Mereka sibuk bertanya, "Anak ni anak siapa? Duduk di mana? Orang sini ke? Anak dah berkahwin ke? Siapa suaminya?" Paling kerap soalan yang ditanya ialah siapa mak ayah ana. Allahurabbi. Allahuakbar.
Tidak kurang dengan itu, mereka beriya-iya menjemput ana untuk bertamu ke rumah mereka. Jam menunjukkan angka 10, ana pula memandu sendirian ke masjid, khuatir pula tuan rumah bimbangkan keselamatan ana. Ana juga masih letih memandu. Jadi, ana hanya menolak lembut pelawaan mereka.
Ana tersentuh, perasaan sayu menguasai diri. Apa yang ana rasakan, warga-warga emas ini mahukan kasih sayang dan perhatian, lebih-lebih lagi daripada anak-anak muda, yang mereka harapkan menghormati mereka, yang kini kebiasaannya lebih mengutamakan hidup sosial masing-masing, hanyut dengan alam maya, mencari-cari waktu untuk bersukaria, mencuri kelapangan untuk merasai cinta monyet.
Betapa kita sudah mengabaikan mereka. Apa yang ingin ana tekankan, ingatlah sahabat-sahabat, kita juga akan menjadi tua, insyaallah. Kita juga akan punya zuriat, insyaallah. Adakah kita suka merasai kesepian, kesunyian? Adakah kita mahukan zuriat yang tidak endahkan ibu bapa, datuk dan nenek mereka apabila meningkat remaja? Hargailah mereka selagi kita diberi kesempatan untuk berbuat demikian...
Nasihat ini tidak terkecuali untuk diri ana juga...

No comments:

Post a Comment