Wednesday, September 29, 2010

Nota Syukur Buat-Mu

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, hari ini berkali-kali aku menyungkur sujud ke hadrat-Mu. Sungguh aku terharu. Amat-amat terharu. Rahmat, rezeki, dan berkat dariMu amat kurasai. Tangisan hiba ini amat memeritkan bola mataku. Aku sungguh tidak tahu apa yang harus kulakukan selain sujud kepadaMu penuh syukur. Aku seakan-akan tidak mahu bangkit dari hamparan sejadah ini. Biar walau kuyup dibasahi air jernih yang mengalir deras ini. Biar walau aku lemas tidak bernafas dek tangisan syukur ini. Engkaulah yang selayaknya menerima segala puji-pujian dan ucapan syukur yang tidak terhingga.

Seminggu dua ini, kurasakan mulutku benar-benar masin. Apa saja yang kupinta, apa saja harapan dan keinginan yang terdetik di hati, begitu mudah kugapai.

Bermula dengan Gamelan Test pada hari Khamis minggu lepas. Aku tidak hafal not-not muzik empat baris itu, melainkan untuk baris yang pertama. Maka aku berdoa setiap saat sementara menunggu giliran agar aku mendapat undi bernombor 1. Sewaktu mencabut undi, aku tersentak melihat nombor baris yang tertera adalah nombor 1. Bermaksud aku akan diuji hanya menggunakan not baris pertama. Aku berjaya memainkan Gambang, Saron, Bonang dan Gendang dengan baik sekali. Segala puji bagi Allah.

Hari Jumaat, aku menguruskan persiapan jamuan makanan untuk satu Majlis Ilmu. Aku ditimpa musibah yang menguji kewanganku. Sewaktu aku kesal dan bersedih dengan diri sendiri, aku teringat kembali doa-doa yang aku panjatkan dua hari berturut-turut sebelum itu. Doa meminta ditingkatkan tahap kesabaran dan ketabahan dalam diri ini. Aku menyoal diriku sendiri, bukankah musibah dan ujian itu tidak lain hanyalah untuk menguji kesabaran dan ketabahanku? Bagaimana mahu dikabulkan permintaan itu tanpa diuji? Bagaimana harus diukur tahap kesabaran dan ketabahan andai tiada apa yang merunsingkan fikiran? Andai hati gembira sentiasa? Hanya dengan ujianlah aku dapat melatih diri menjadi lebih sabar dan tabah. Lantas aku tersenyum. Maha suci Allah.

Kemudiannya, aku sibuk dengan tugasan. Preparation untuk Clastic Test tidaklah semantap mana. Aku terlalu letih, tambahan pula fizikalku lemah gara-gara cuaca sejuk. Asma datang dan pergi berulangkali. Waktu test hari Selasa yang lalu, aku terkejut melihat soalan test tersebut. Hanya 10 soalan objektif untuk dijawab dalam masa 30minit. Allahuakbar. Tahap kesukarannya ialah sedarhana bagiku. Topik pula merangkumi tajuk-tajuk yang sempat aku study sepenuh hati. Sekali lagi aku terharu dan bersyukur.

Selain itu, sifat amarah aku dulu pernah membuat aku kehilangan sahabat akrabku. Aku memarahi dia yang hanya mengambil berat tentang aku. Namun, baru-baru ini usahaku menjernihkan keadaan mula membuahkan hasil. Sahabatku itu mula memberikan respons positif. Segala puji bagi Allah, aku berstukur kepadaMu...

Seterusnya, aku dapati Allah sentiasa mendengar rintihan hatiku, sentiasa menyaksikan air mataku, juga Allah sentiasa mengetahui apa yang tersimpan di lubuk hatiku. Sudah seminggu nama itu berlegar-legar di ruang mindaku. Aku rindukannya, aku ingin tahu apa khabarnya. Untuk menghubunginya, amat mustahil untuk kulakukan. Aku tidak mahu menimbulkan fitnah. Aku juga tidak mahu menjadi punca dia terleka dengan tanggungjawabnya sebagai pemimpin juga hamba Allah. Aku tidak mahu mengulang kesilapan 'Atikah binti Zaid dan suaminya, Abdullah bin Abu Bakar. Kecintaan mereka telah melekakan mereka untuk beribadah dan berjihad demi Islam. Lalu, setiap kali nama itu muncul di benak fikiranku, kepada Allah jualah aku hadapkan muka. Kepada Allah aku lepaskan kerinduan ini. Kepada Allau aku adu segala rasa di hatiku.

Wahai Yang Maha Pengurnia, apa lagi yang harus kulakukan bila jasadnya berdiri tegak di hadapanku petang tadi? Apa lagi yang harus kuucapkan bila dia, jasad yang kurindu, tersenyum melihatku? Aku terkejut tersangat-sangat. Bertanya khabar, dan aku berlalu pergi. Sungguh Ya Allah, waktu itu juga butir-butir jernih menitis ke bumi. Sepanjang jalan aku mengucapkan syukur, memujiMu. Hanya Engkau yang selayaknya menerima puji-pujian.

Selepas selesai solat Isyak tadi, aku mendapat panggilan telefon. Sungguh tidak ku terjangka, amaun di bankku telah bertambah jumlahnya. Bertambah dengan jumlah yang luar biasa. Hilang kerunsinganku tentang perbelanjaanku. Sekali lagi aku tersungkur sujud kepadaMu.

Sungguh aku yakini, Engkaulah Al-Wahhaab, Engkaulah Ar-Razzaaq... Engkaulah Maha Pemberi Kurnia, Engkaulah Maha Pemberi Rezeki...

Ya Allah, Engkaulah Al-'Aliim, Engkaulah As-Sami', Engkaulah Al-Basiir...

Aku beriman dengan segala sifat-sifatMu sebagai bukti kesempurnaanMu...

Aku akui, sungguh beruntung bagi orang-orang yang meletakkan pergantungan kepada Allah semata-mata setelah berusaha bersungguh-sungguh...

"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai 'Arasy yang agung." (Surah At-Taubah, 9:129)

Aku akui, Engkau meneguhkan kedudukan sesiapa sahaja yang menolong agamaMu...

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan mengukuhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad ,47:7)

Sesungguhnya segala yang kulalui ini meningkatkan lagi keyakinan aku terhadapMu...

Allahuakbar!

No comments:

Post a Comment