Friday, July 23, 2010

Hipokrit

"Aman tak sanggup, Wawa... Aman tak sanggup nak berbahagia di atas penderitaan orang lain..." Tiba-tiba suara garau Norman terngiang-ngiang bagaikan halwa di telinga Najwa. Limpahan air matanya gagal dibentengi lagi. Biarlah. Sudah terlalu lama dia bertahan. Mungkin tangisan itu mampu menampal remuk di hatinya.

Pada awalnya, dia merasakan lelaki itu mulia. Mulia bagaikan malaikat barangkali, kerana Norman tidak betah untuk terus bersamanya kerana Mira masih menanti Norman. Mira menderita di atas kebahagiaan kisah cinta Norman dan Najwa.

Namun, setelah hampir dua bulan Najwa menjeruk perasaannya, menangisi kehilangan cinta monyet yang pernah dijulangnya dulu, dia bagaikan berdendam. Iblis dan syaitan berpesta girang pastinya, meraikan kejayaan menumpaskan seorang lagi anak Adam.

Najwa bukan tidak tahu tentang dosa pahala. Baginya, bukan mudah untuk menjaga hati, agar terhindar daripada masalah-masalah hati. Dendam, tidak memaafkan, benci. Semua itu hanyalah nafsu ammarah yang menjauhkan dia dari Yang Esa. Tetapi dia masih gagal memenangi hatinya untuk merelakan segala yang berlaku.

Bukankah penyatuan Norman dan Mira bererti keterlukaan di hatinya?

Bukankah gurau senda mereka menjadi racun dalam setiap desah nafasnya?

Bukankah kisah cinta mereka berdua bermaksud kebahagiaan Najwa diganti dengan penderitaan?

Bagaimana akal Norman berfikir?

Apakah tidak sama keadaannya, mereka berbahagia di atas penderitaan Najwa?

"Tergamak pula Norman berbahagia dengan Mira sedangkan aku di sini menderita kerana mereka," bisik hati kecilnya. Dia tahu kini, sejauh mana keikhlasan Norman yang kononnya mencintainya sepenuh hati. Dia tahu kini, semua kata di mulut lelaki itu hanyalah lakonan dan rekaan semata-mata. Bukanlah ikhlas dari lubuk hatinya. Hipokrit.

Najwa mengeluh perlahan. Sorotan matanya jauh ke jalan besar di hadapan rumahnya. Angin malam itu berhembus lembut meniup helaian rambutnya. Seakan mahu memujuk hatinya. Mahu mengeringkan butiran jernih di pipinya. Rembulan malam itu pula seakan-akan mengerti perit di hatinya, hanya meminjamkan cahaya suram sebagai latar malam itu. Perlahan dia mengatur langkah melewati serambi rumahnya, untuk masuk melelapkan matanya, cuba melupakan segalanya...

No comments:

Post a Comment