Wednesday, July 28, 2010

Rahmat Untuknya

Sudah berminggu-minggu dia resah gelisah. Dia terasa lain. Dia canggung dengan cara hidupnya sendiri. Rutinnya selama ini tidak lagi memberi kepuasan di hatinya. Tidak lagi mampu membuat dia tersenyum. Malah, hanya menambahkan kekusutan di fikirannya. Paling kronik apabila rutin-rutin yang dahulunya amat dia senangi, kini hanya buat dia mengalirkan air mata.

Dia nekad. Dia perlu meleraikan kekusutan itu. Sebulan lamanya dia merantau. Mencari arah tuju yang baru. Walaupun jauh dia tersesat, dia tidak berputus asa. Lurah dituruni, gunung didaki, dia tetapkan hatinya.

Allah Maha Pengasih. Maha Penyayang. Dia tiba di satu negeri yang amat asing. Dia tidak mengenali sesiapa di sana. Namun, kehadirannya disambut mesra. Kebajikannya terjaga. Amat berbeza makhluk negeri itu jika dibandingkan dengan manusia di negeri asalnya. Makhluk di negeri asing itu sentiasa berpakaian indah-indah, bibir sentiasa basah dengan zikrullah, sedangkan manusia di tempat asalnya sering berbau busuk dan gemar memakan daging yang busuk. Dia tidak terkecuali. Mungkin itulah punca batinnya terseksa dan tidak mampu lagi untuk mencerap rutinnya. Tidak mampu lagi merasa bahagia dengan rutin yang gila itu. Ah, beza mereka bagaikan langit dan bumi.

Di negeri asing itu, dia juga mendapat tarbiyah setiap hari. Tarbiyah yang membuat dia menangis saban malam. Menangis mengenangkan tanda-tanda kebesaran Allah, mengenangkan betapa Pemurahnya Sang Khaliq terhadap dirinya. Lebih membuatkan hatinya sayu, kekusutannya serta-merta hilang tatkala kakinya menjejak tanah negeri itu. Diganti dengan kesuburan dan ketenangan hati. Dia berazam untuk tidak kembali ke negeri tempat tumpah darahnya. Negeri asalnya. Kerana tiada ketenangan dan kebahagiaan di sana. Walaupun dia terpaksa mengorbankan dunia dan isinya. Dia berdoa minta dikuatkan hatinya. Kerana dia tahu, pahit pengorbanan itu bersifat sementara, tetapi syurga Allah itu abadi...

No comments:

Post a Comment