Sunday, July 25, 2010

Terima Kasih Ibu

Hatinya sayu mengenangkan ibu di rumah. Segalanya dibentangkan di hadapan matanya tanpa terkecuali. Dia terharu mengenangkan semuanya. Sebak dadanya.

"Hari ni besday adik. Ambillah rantai emas ni, hadiah dari ibu," bersama senyuman di bibir tua itu.

"Wah, cantiknya gelang ni, bu!" dia terpegun dengan sinaran gelang itu. "Adik takde gelang, adik ambil la gelang ni," amat bersahaja ayat-ayat yang dilontarkan oleh si ibu.

"Eh, macam teringin pengat la ibu," dia merengek manja. "Pergi la pasar beli bahannya," sahut si ibu. Sejam kemudian pengat sudah siap terhidang di atas meja. Dia cuma menjadi assistant membantu menyediakan bahan-bahan.

"Ibu tengok laptop adik asyik bermasalah je? Insyaallah lagi dua, tiga bulan, adik tukar desktop je lah ye?" dia ternganga. Tidak pernah dia mengeluh tentang laptopnya itu. Apa lagi mahu minta diganti baru. "Erm, tak perlu kot bu..." lembut dan perlahan dia menjawab. Hampir tidak terdengar.

"Ibu, bestnya ada kereta, mudah untuk adik buat kerja," indah angan-angannya. Si ibu lantas menjawab, "InsyaAllah tahun depan ye dik. Sabar je," Dia terkedu. Kata-katanya bukanlah serius, tetapi si ibu benar-benar berjanji padanya.

"Ibu, adik nak pinjam duit RM50 boleh?" tergelak si ibu mendengar soalannya. "Adik nak buat apa dengan duit RM50 tu?" "Adik nak beli t-shirt labuh dua helai petang ni," "Adik nak ambil duit dari mana untuk bayar semula pada ibu?" Dengan malu-malu dia menjawab, "Adik ada simpanan dalam bank". Si ibu ketawa lagi. "Bukan duit itu pun dari ibu ke? Ambil je duit ni, tak perlu pinjam-pinjam,". Dia terdiam lagi. Sayu.

"Ibu, adik nak tambah lagi 1 telekung, mudah untuk diganti-ganti sewaktu di U nanti," pintanya. Ibunya menjawab tenang, "Ok, bawalah telekung di dalam almari tu,".

"Ibu, adik nak dodol tu," sekelipan dodol dihulur, tanpa si ibu sedar, anaknya yang lebih tua telah lebih awal meminta dodol tersebut. Perhatian si ibu ini sememangnya sedari awal dulu lebih kepada 'adik' ini. Mungkin kerana dia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah.

Ah, terlalu banyak untuk diingat. Tidak terkira banyaknya jasa dan pengorbanan ibu terhadap dirinya. Dia takut tidak sempat membalas segalanya. Dia hanya berharap dia mampu menggembirakan ibunya, selagi dia masih berkesempatan melakukannya.

Segala yang dipinta, akan terbentang di depan mata. Ibunya berusaha sedaya upaya untuk memenuhi segala keinginannya. Untuk memberi keselesaan padanya. Dia pernah terdengar perbualan si ibu dengan kakaknya, ibu tidak mahu ketiadaan kasih sayang seorang ayah menggugat kebahagiaan hidupnya. Ibu tidak mahu adik berfikir, kerana ketiadaan ayah, adik tidak mampu hidup selesa. Ibu berharap segala yang ibu berikan mampu menghilangkan kesedihan adik kerana tidak mempunyai ayah sepertimana kawan-kawan adik yang lain. Kerana ibu tahu, tidak dapat tidak, sesekali terlintas juga perasaan cemburu dalam hatinya melihat kawan-kawan yang bahagia dengan keluarga yang sempurna, dengan ayah sebagai ketua keluarga.

Dia terharu dengan pengorbanan ibunya. Dia sedih, pilu. Dia amat berharap dia mampu membalas jasa ibunya. Seringkali dia berdoa agar Allah menghadiahi syurga buat ibunya di Sana nanti. Dia perlu ingat, ujian kesenangan itu lebih berat berbanding ujian kesukaran dalam hidup...

Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Permintaan ibunya. Ah, dia buntu. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. Dia telah bertekad mahu membahagiakan ibunya, tetapi tanpa diduga, si ibu membuat permintaan yang seperti mustahil untuk ditunaikan. Ibu menjodohkannya dengan lelaki yang langsung tidak dia cintai. Dia buntu. Dia tidak mencintai lelaki itu, tetapi dia mahu membahagiakan ibunya. Setiap malam dia menangis mengadu pada Yang Maha Mendengar. Dia inginkan jalan keluar. Untuk mengingkari ibunya, dia tidak sanggup. Ibu adalah jantung hatinya. Tetapi, untuk bersetuju menerima lelaki itu, dia buntu. Dia masih sabar menanti jawapan daripada Yang Esa... Satu-satunya tempat dia bergantung...


No comments:

Post a Comment