Tuesday, August 3, 2010

Berita Sinar Harian

Pemuda maut langgar belakang lori

TANAH MERAH - Akibat mengantuk, seorang pemuda tidak dapat mengawal kenderaan yang dipandunya sehingga menyebabkan dia melanggar sebuah lori yang dipakir di bahu kanan jalan di Kilometer 3.8 Jalan Jedok di sini, kelmarin.

Nahas terbabit berlaku kira-kira jam 4 petang yang mengakibatkan pemandu kenderaan Proton Saga BLM terbabit maut selepas melanggar belakang lori berkenaan.

Mangsa yang dikenali sebagai Hafih Zaini Husyairi Mat Yaakob, 21, dipercayai mengantuk ketika memandu kenderaan terbabit yang turut membawa tiga penumpang lain bersamanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud, mangsa yang berasal dari Felda Kemahang 1, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari bandar Tanah Merah menuju ke Jalan Jedok, selepas menjalani latihan di salah sebuah pusat Kesihatan di Sungai Buluh, Selangor.

“Pemandu terbabit, turut membawa ahli keluarganya yang terdiri daripada kakaknya, Yati Sunarti Mat Yaakob, 33 yang mengalami cedera parah di bahagian kaki serta dua lagi ahli keluarganya, Hazwati Huzairil, 19 dan Syahirah Balqis, 6, yang masing-masing hanya mengalami cedera ringan dan kini dirawat di Hospital Tanah Merah (HTM)

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut setelah tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, walaupun pemandu berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital, namun dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang serius di bahagian perutnya.

“Polis percaya pemandu terbabit dikatakan gagal mengawal kenderaan yang dipandunya disebabkan dia mengantuk dan mengikut fakta kes, dia dipercayai bertolak pulang dari Sungai Buluh ke Tanah Merah seawal jam 5 pagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment